 |
 |
 |
 |
 |
|
Monday, April 18, 2005
SENI LAGU AL-QURAN - TARANUM AL QURAN DAN BACAAN AL QURAN OLEH QARI MESIR SHEIKH MAHMOUD ALI AL BANNA.
Hari ini macam biasa pagi2 lagi aku dah pergi kerja mencari rezeki. Begitulah kehidupan aku hari2 (Monday to Sunday) sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah Al Imran Ayat:27 yang bermaksud," Engkau menjadikan malam memasuki ke dalam siang, dan Engkau menjadikan siang memasuki ke dalam malam, dan Engkau mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau mengkehendaki tanpa perhitungan."
(MASYALLAH) sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba hambaMu.

Di tempat kerja macam biasalah kalau tak dengar BACAAN AL QURAN dan TARANUM AL QURAN dari QARI MESIR IDOLAKU, Sheikh Mahmoud Ali Al Banna, memang tak sah.
BACAAN AL QURAN dari Sheikh Mahmoud Ali Al Banna ni memang power!!!!!
Dah habis dengar BACAAN AL QURAN dari Sheikh Mahmoud Ali Al Banna ni (sideA), aku pusingkan kaset tu (sideB) pulak. Hah! kali ni BACAAN AL QURAN oleh Sheikh Abul Einein Sheisha. SENI LAGU TARANUM AL QURAN yang didendangkannya amat menarik sekali. Terpaut hati aku mendengar BACAAN AL QURAN dari Sheikh Abul Einein Sheisha ni....

Kalau kawan kawan teringin sangat nak mendengar BACAAN AL QURAN, SENI LAGU TARANUM AL QURAN oleh kedua dua QARI MESIR IDOLAKU ini, jangan segan segan klik disini (SUKARELAWAN JEMAAH IORA') sebab aku pun selalu masuk ke web mereka ni. Aku memang seorang penyokong SUKARELAWAN JEMAAH IQRA. Dalam web mereka macam macam BACAAN AL QURAN DAN SENI LAGU AL QURAN berserta TARANUM AL QURAN yang boleh kawan kawan dengar. Bukan itu sahaja ada berbagai bagai jenis BACAAN AL QURAN QARI QARI MESIR yang dipaparkan dalam web mereka.
Semalam hari Ahad (17/04/2005) aku terbaca dalam suratkhabar berita minggu tentang MUSABAQAH TILAWAH AL QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN SINGAPURA. Rasa tak sabar aku nak pergi tengok MUSABAQAH TILAWAH AL QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN SINGAPURA tersebut.
Sejenak aku memikirkan kalaulah ada mana mana masjid di Singapura atau badan badan kebajikan di singapura yang dapat mengadakan MUSABAQAH TILAWAH AL QURAN TIRU GAYA BACAAN QARI QARI MESIR yang boleh diadakan setahun sekali ke, tentu lagi power.
Nanti dapatlah aku dan peminat peminat SENI LAGU TARANUM AL QURAN di Singapura melihat berbagai bagai aksi GAYA BACAAN AL QURAN ALA QARI MESIR....
Posted at Monday, April 18, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Friday, April 15, 2005
CERPEN TERBAIK SINGAPURA - MENGENALI PERIBADI ORANG DENGAN CARA MENGETIP KUKU....
Assalammualaikum,
Apakhabar semua kawan2 blog Masmerah. Sab dan Cheeff jangan salah sangka! Aku bukan pergi bercuti sebagaimana sangkaan kau orang berdua tapi sebaliknya aku agak sibuk sedikit sejak kebelakangan ini....
Sibuk tak sibuk pun aku tak pernah lupakan kawan2 blog semua. Ni... lah aku nak berkongsi sikit tentang cerpen terbaik singapura - mengenali peribadi orang melalui cara mengetip kuku. Agak pelik juga kan! Mana ada orang yang sanggup perhatikan cara orang lain mengetip kuku mereka!
Apa sekalipun mari kita sama sama perhatikan cerita ini manalah tau ia ada kena mengena dengan diri kita:

Orang yang bijaksana:
Orang yang tahu bila dia harus mengetip kuku.
Orang yang perakus:
Orang yang mengetip kuku tidak cukup dengan satu jari.
Orang yang perasa:
Orang yang kalau habis mengetip kuku selalunya menjilat jari jemarinya.
Orang yang aquatik:
Orang yang sebelum mengetip kukunya, jarinya di basahi terlebih dahulu.
Orang yang pemalu:
Orang yang kalau ingin mengetip kuku selalunya menjauhkan diri dari orang lain.
Orang yang kurang ajar:
Orang yang apabila selesai mengetip kukunya, dia melemparkan kuku itu kearah orang lain.
Orang yang sopan:
Orang yang meminta izin kebelakang jika dia ingin mengetip kuku.
Orang yang inginkan perhatian:
Orang yang kalau mengetip kuku selalunya akan terpekik pekik.
Orang yang tidak berprikemanusiaan:
Orang yang apabila selesai mengetip kuku, pengetipnya di taruk atas makanan atau minuman orang lain.
Hah! Sekarang tiba giliran kawan2 semua, kau orang tergolong dalam golongan yang mana satu?
Posted at Friday, April 15, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Sunday, March 27, 2005
CERPEN PILIHAN - CERPEN KELAKAR SINGAPURA-BUAH TEMBIKAI TERGOLEK
Hai.... penat betul minggu ni...
Pagi pagi lagi dah kena bangun. Apa tidaknya Mak Mertua dan Kakak Ipar aku ajak balik kampung lagi nak jemput saudara mara di kampung ke majlis perkahwinan anak saudara aku pada bulan Mei nanti. Malam tadi habis ngaji dah sampai pukul 2 pagi lepas tu sambung perbualan dengan abang ipar aku pulak. Subjeknya very interesting, apa orang kata tu antara hidup dan mati....

Tak sempat tidur pun, terpaksalah telan 2 biji panadol, barulah boleh tahan sikit. Dalam kereta sepanjang perjalanan pergi tu seperti biasalah aku buka kaset BACAAN TARANUM ALQURAN QARI ARAB, SHEIKH ABUL EININ SHEISHA (Surah Al Qashas) dan BACAAN TARANUM AL QURAN QARI ARAB, SHEIKH MAHMUD ALI AL BANNA (Surah Al Furqan). Alamak terantuk betul BACAAN TARANUM AL QURAN 2 orang QARI ARAB ni, betul betul menyentuh jiwa aku, bertambah segarlah mata aku yang mengantuk tadi. "Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan Al Quran lalu mereka berkata, "Sesungguhnya kami telah mendengar sebuah Al Quran yang mengagumkan." Maksud Firman Allah Taala dalam Surah Al Jin Ayat: 1.
Aku hadiahkan fateha untuk kedua dua QARI ARAB itu sebagai penghargaan aku terhadap mereka diatas kurnia yang Allah Taala berikan pada mereka. Semoga Allah memberkati kami semua. Teringat aku akan Firman Allah Taala dalam Surah Al A'RAAF Ayat: 204 yang bermaksud,"Dan apabila Al Quran dibacakan, maka dengarkanlah ia baik baik dan perhatikanlah dengan tenang, supaya kamu mendapat rahmat."
Setelah menjemput semua sanak saudara di kampung, tibalah masa untuk kami semua pulang ke Singapura. Tapi sebelum tu aku tak lupa membeli lagi kopi kegemaran ramai tu.... KOPI 434.

Dalam perjalanan pulang ke Singapura aku terlihat satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori membawa buah tembikai dengan sebuah van. Habis satu lori buah tembikai jatuh berlambak di tengah tengah highway, ada yang pecah dan ada yang masih elok lagi. Ini cerita kelakar, Aku tengok ramai pemandu kereta yang memberhentikan kereta mereka di tepi highway tu... aku fikir tentulah Dia Orang nak tolong si Driver lori atau si Driver van tu... tapi rupa rupanya Dia Orang turun pasal nak ambil buah tembikai yang masih baik dan boleh dimakan tu...
Dalam banyak banyak buah tembikai yang dah tergolek ditengah tengah highway tu aku ternampak macam ada yang aneh disitu... Cuba cubalah kawan kawan tolong aku tengok gambar di bawah ni gambar apa agaknya tu? (lagi kelakar)

Kalau ada sesiapa yang dapat meneka dengan tepat dan padat, KOPI 434 aku hadiahkan siap dengan teko dan cawan free lagi!!!
    
(Hah! tengok tu bukan main berasap lagi KOPI 434)
Ayuh cepat, jangan lambat selagi stok masih ada. Panggil ramai ramai kawan tolong tengokkan benda apa tu, nanti bolehlah kongsi kongsi KOPI 434 tu seorang 1/2 paket supaya tak payahlah aku nak sponsor banyak sangat KOPI 434 tu.(tak balik modal ooi!)
Posted at Sunday, March 27, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Sunday, March 20, 2005
SIKAP BELAJAR SAMPAI MATI

Pagi minggu datang lagi....
Seperti biasa kalau pagi minggu begini aku sekeluarga selalunya bangun lewat, maklumlah inilah hari untuk kami berehat. Pagi tadi suamiku pergi beli sarapan di Bukit Gombak. Anakku yang seorang tu pulak pergi ke Madrasah Pertapis. Mak mertua aku seperti biasa selalunya pagi2 minggu macam ni banyak betul projeknya.... dah kebiasaannya.
Dimeja sarapan aku dan suami berdiscuss tentang subjek sikap belajar sampai mati. Terimakasih yang tidak terhingga pada abang ipar aku sebab kerana dialah yang beritahu kami dengan izin Allah tentang sikap belajar sampai mati ni. Teringat aku akan Firman Allah dalam Surah Al Imran A:27 yang maksudnya, "Engkau menjadikan malam memasuki ke dalam siang, dan Engkau menjadikan siang memasuki ke dalam malam, dan Engkau mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau mengkehendaki tanpa perhitungan."
Aku beritahu anak kesayangan aku tu, biar miskin harta tapi jangan miskin ilmu. Sedangkan Allah Taala sendiri telah berfirman dalam Surah Al alaq A:1 yang bermaksud,"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan." Disini maksud baca tu ialah belajar, berilmu yang tidak mengenal erti jemu sebab nak jadikan sikap sendiri. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud,"Sebaik baik umatku ialah yang belajar dan mengajar...."(dipetik dari Durratun Nasihin)
Aku teringat masa aku kecil kecil dulu. Mak aku selalu membebel marahkan kami enam beradik supaya rajin rajin belajar supaya diri sendiri yang senang memandangkan kami adalah keluarga yang miskin ketika itu. Katanya lagi, kalau malas belajar diri sendiri yang rugi. Tapi sepanjang yang aku ingatlah mak aku tak pernah mention yang belajar tu pasal nak jadikan sikap. Jadi bila abang dan adik aku dah dapat apa yang diaorang cita citakan, diaorang pun berhenti belajar......
Sekarang ni kerana tak ada sikap belajar sampai matilah fikiran diorang pun jadi menyayahlah.
Aku ceritakan pada anak aku kenapa dia harus belajar sekarang ni, bukan kerana nak lulus periksa aje atau bukan pasal nak jadi pandai aje atau bukan pasal esok kalau pass periksa senang nak dapat kerja tapi kerana nak jadikan sikap belajar sampai mati.....
Posted at Sunday, March 20, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Sunday, March 13, 2005
CERPEN GARA GARA MAKAN JEMPUT JEMPUT SEMALAM....
Eeemmm....harumnya bau KOPI 434, sedap dan lazatnya rasa.....(terantuk)

Pagi tadi lebih kurang pukul 7.00 pagi aku baru teringat yang kopi dirumah aku dah habis. Aku pun apa lagi terus ajak suamiku pergi ke Muar Johor. Nak tahu kenapa tak? Sebab kopinya eeemmm.... sedapnya, lazatnya, harumnya. Nama kopi tu KOPI 434. Sebenarnya suamiku tu... suka jugalah minum kopi walaupun jarang jarang. Jadi, dia cakap sudah bermacam macam kopi yang dia dah minum tapi kelazatannya tak sama dengan KOPI 434.
Kami tak sempatlah bersarapan pagi jadi kami cuma makan jemput2 semalam yang aku dah panaskan semula. Agaknya entah mana yang silap bila habis aje makan jemput2 tu, tiba tiba perut aku rasa tak sedap aje. Satu macam punya sakit. Aku tanya anak aku si Fatin tu, dia cakap dia pun sama sakit perut juga. Tapi bila aku tanya suami aku, dia jawab dia ok ok aje.
Sampai di Muar lebih kurang pukul 10.00 pagi. Kami terus saja pergi beli KOPI 434 tu. Suamiku cakap yang dia mula terasa lapar, jadi kami singgah makan di Tanjung Emas(Ketapang) sebuah taman macam Singapore Botanic Garden. Kami duduk di sebuah gerai menjual nasi padang.

Memang malang bagi aku sudahlah sakit perut tapi tak boleh buang air besar, bila tiba aje digerai tu sakitnya pulak mendatang..... bergelodak satu macam dalam perut aku ni(gerek beb!!!) Ketika tu macam macam doa yang terlintas difikiran nak menahankan "sidia" ni jangan sampai terburai disitu. Nak masuk bilik air, alamak abang kedai makan tu cakap hari ini dan esok, seluruh Muar tak ada bekalan air. Alangkah hampanya aku.... terpaksalah tahan aje.
Ini yang membuatkan aku teringat satu firman Allah Taala dalam Surah Fushilat ayat: 51 yang bermaksud,
"Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa."
Lepas habis aje makan nasi dengan lauk asam pedas kepala ikan mayung(terantuk siiihhh) kami pun apalagi terus pulang ke Singapura tak singgah kemana mana pun sebab panggilan alam aku dah mendesak sangat. Jadi aku dah plan nanti bila tiba ke kawasan rehat Pagoh aku nak lepaskan hajat aku.
Tiba aje ke kawasan Rehat Pagoh, apalagi tak sempat aku nak matikan enjin kereta (sebab aku yang drive) terus meluru masuk kedalam tandas awam dengan penuh harapan.... Alangkah kecewanya aku semua tandas penuh.... Alamak kena tunggu lagi nampaknya. Muka aku sampai dah naik merah padam menahankan "sidia" ni.
Bila satu pintu tandas terbuka saja aku pun apalagi terus meluru masuk. Aaaah.......leganya. Pada masa tu aku rasa akulah orang yang paling beruntung sekali dalam dunia ni... sebab dapat lepaskan sakit perut aku tadi. Bersyukur pada Allah, jangan cakap lagilah dah beribu ribu kali tak putus putus. Aku tak dapat bayangkan bagaimana agaknya kalau aku tak boleh buang air besar dan kecil selama sebulan? Baru satu hari saja muka aku dah merah padam agaknya kalau sebulan bukan merah padam saja, mungkin dah lebam satu badan......
Firman Allah Taala dalam Surah Fushilat ayat: 49 yang maksudnya,
"Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika mereka ditimpa malapetaka, mereka menjadi putus asa lagi putus harapan."
Posted at Sunday, March 13, 2005 by masmerah
Wednesday, March 09, 2005
KENANGAN BERSAMA USTAZ TARANUM AL QURAN

Hari ini tiba tiba saja aku teringatkan Allahyarham guru TARANUM AL QURAN aku iaitu Ustaz Muhammad bin Hj. Muhammad Yusoff dari Kelantan, Malaysia. Sebenarnya kami semua tidak sangka yang Ustaz kami tu telah kembali ke rahmatullah. Rasanya baru semalam kami berbual bual mesra dengannya di suatu Majlis Al Quran yang telah dianjurkan oleh Syarikat Majlieza Ulu Tiram, Johor.
Bila terkenangkan peristiwa itu teringat aku akan firman Allah Taala dalam Surah Al Baqarah Ayat 28 yang bermaksud:
"Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya kepada Allah memandangkan kamu adalah orang-orang yang mati, lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan?"
Dan firman Allah Taala dalam Surah Al Anbiyaa Ayat 34-35 yang bermaksud:
"Dan tidaklah kami menciptakan manusia sebelum engkau itu hidup kekal abadi; apakah kalau engkau telah meninggal dunia kemudian mereka kekal abadi?
Tiap tiap yang hidup akan merasakan mati; dan kami mencuba kamu sekelian dengan adanya kejahatan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kepada kamilah kamu sekelian dikembalikan".
Sabda Nabi Muhammad saw yang maksudnya:
Kalau seandainya rasa sakit seutas rambut dari seorang mayat itu ditaruk diatas langit dan bumi, nescaya matilah penduduk langit dan bumi dengan izin Allah Taala. Kerana tiap tiap rambut itu mengalami mati dan mati itu tidak terjadi pada sesuatu melainkan mati pula bersama semua anggota.

Mengimbas kembali detik pertemuan dengan Almarhum Ustaz, waktu tu aku, suamiku dan beberapa orang kawan kawan kami telah menghadiri kursus Tahsin(TARANUM AL QURAN) yang dianjurkan oleh pihak pentadbiran Masjid Darul Makmur, Yishun. Selama 2 tahun kami mengikuti kursus tersebut. Dah dapat sijil pun......
Pada mulanya memang agak susah juga hendak berkenal mesra dengan Almarhum, tetapi setelah 2 hingga 3 kali mencubanya akhirnya kami menjadi kawan baik Almarhum pulak. Aku rasa apa yang Almarhum buat tu mesti ada sebab memandangkan sudah 20 tahun dia mengajar di Singapura ini. Mungkin dia selalu berjumpa dengan pelbagai kerenah anak murid atau para pelajarnya yang cuma nak merompak ilmu yang dia ada bukan nak berkawan dengan dia apalagi nak gunakan ilmu itu untuk kebaikan manusia.
Kami selalu bertukar tukar pendapat tentang LAGU AL QURAN DAN TARANUM AL QURAN, BACAAN QARI QARI ARAB DAN TIMUR TENGAH, BACAAN QARI MALAYSIA, QARI SINGAPURA DAN QARI INDONESIA memandangkan beliau sudah mempunyai banyak pengalaman dalam bidang TARANUM AL QURAN dan pernah menyandang gelaran sebagai JOHAN QARI ANTARABANGSA DALAM MAJLIS UJIAN MUSABAQAH TILAWAH AL QURAN yang diadakan di Malaysia.
Rupa rupanya Almarhum Ustaz amat berminat dengan QARI MESIR yang terkenal iaitu Sheikh Mustapha Ismael. Masyallah!!! Almarhum ada juga mencuba beberapa burdah yang digunakan oleh Sheikh Mustapha Ismael. Masa dia datang kenduri doa selamat dirumah aku, kami semua membuat satu permintaan supaya Almarhum Ustaz dapat membuat satu persembahan MEMBACA AL QURAN dan BERTARANUM AL QURAN istimewa untuk kami, sebab kami rasa itu adalah satu cara kami menghargai Almarhum Ustaz.
Masyallah bacaan Almarhum pada hari itu amat baik dan menarik sekali dan aku rasa itulah pertama kali aku dengar Almarhum Ustaz baca 'Live' amat menyentuh jiwaku. ( tidak sama dengan bacaannya ketika dalam kelas tahsin. Jauh beza betul). Dan bacaan itu ada aku rakamkan untuk aku dengar sebagai satu cara aku menghargainya diatas kurnia yang Allah Taala berikan padanya.
Sampai hari ini kami semua masih lagi melagukan bait bait Lagu Nahawand yang pernah Al marhum Ustaz ajarkan pada kami dari Surah Al baqarah Ayat 6-8. Itulah satu penghargaan buat Almarhum Ustaz kami. Ilmu dan budi baik Almarhum Ustaz tidak akan kami lupakan sampai mati dan Insyallah akan kami sampaikan kepada sesiapa yang layak.
Al fateha untuk Almarhum Ustaz kami. Al fateha......
Doaku untuk Almarhum Ustaz Muhammad bin Hj Mohd Yusoff.
"Ya Allah, demi Al Quran yang aku baca, Kau dengarlah luahan kata kata hatiku ini...
Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa Almarhum Ustazku, Kau lapangkanlah kuburnya,
Kau hindarkanlah dia dari siksaan kuburMu, dari soalan Mungkar Nangkir, Kau selamatkanlah dia ketika di Padang Masyar nanti, Kau selamatkanlah dia dari siksaan api neraka, Kau tempatkanlah dia bersama sama orang orang yang beriman,Ya Allah! Sesungguhnya hanya kepada Engkaulah tempat aku memohon pertolongan..... AMIN!
Posted at Wednesday, March 09, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Saturday, February 26, 2005
CERPEN PERTEMUAN BERSEJARAH DENGAN KAK N..
Hari Jumaat malam Sabtu yang lepas aku, suami, ibu mertuaku, adik beradik serta kawan kawanku yang lain telah dikejutkan dengan kedatangan seorang kenalan internet(blog) kami. Sebenarnya kenalan kami tu selalu berhubungan dengan Sab, dan dia ada memberitahu Sab tentang kedatangannya pada hari Jumaat nanti. Kami menerima berita itu macam biasa saja kerana dari pengalamanku selama hampir 6 tahun aku berkecimpung dalam dunia TARANUM AL QURAN ni memang ramai kenalan yang aku temui dalam internet(web) dan ada diantaranya yang sudah berjanji nak datang tetapi tidak juga muncul bila tiba harinya.
Berbalik kepada kenalan kami tadi, Kak N.. kami semua amat mengalu alukan kedatangan Kak N...
Kami sebenarnya tak sangka yang Kak N.. begitu berani datang ke tempat kami. Terima kasih Kak N... Semoga ada ramai lagi orang seperti Kak N.. yang akan datang ketempat kami menjalinkan silahturrahim dengan kami. Teringat aku akan firman Allah Taala dalam Surah An Nisaa' A:86 yang maksudnya:
"Dan apabila kamu dihormati dengan salam hormat, maka berilah salam hormat yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dengan yang serupa, sesungguhnya Allah membuat perhitungan atas segala sesuatu"
Bermacam macam cerita yang kami kongsi dengan Kak N.., maklumlah pengalamannya sudah banyak dalam dunia cyber ni. Kami pulak orang baru, jadi dapatlah kami ambil beberapa tip dari Kak N... Mula mula seperti biasa kami secara bergilir gilir membaca AL QURAN kemudian diselang selikan dengan perbualan, persoalan dan bertukar tukar pengalaman mengenai blog dan website dengan Kak N... Selepas itu apalagi, makanan pun sudah terhidang diatas meja (mee yang *di goreng oleh zu408 tu, sedap sekali, terimakasih zu) kamipun makan bersama sama. Aku rasa seronok sekali pada hari itu kerana baru 4 bulan menulis dalam blog di internet dah dapat jumpa dan bersua muka dengan kenalan blog.
Aku amat bersyukur dan berbahagia sekali menjelang usia yang ke 6 kami berkumpul beramai ramai membaca AL QURAN secara BERTARANUM AL QURAN, dengan izin Allah Taala dihantarnya Kak N.. ke rumah aku. SUBHANALLAH!!! Teringat aku akan firman Allah Taala dalam Surah Taha A:2 & 3 yang bermaksud, "Kami tidak menurunkan AL QURAN kepada kamu supaya kamu menjadi sengsara; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah."
Kerana terlalu ghairah berbual tak sedar pula jam dah menunjukkan pukul 12.30 tengahmalam. Saat untuk berpisah sudah tiba. Kami semua saling bersalaman dan berpelukan dengan Kak N...
Dan sejurus itu aku terus mencapai kunci kereta untuk menghantar Kak N.. pulang. Untuk Kak N.. serangkap PANTUN kutujukan padamu:
KALAU ADA SUMUR DI LADANG
BOLEH KAMI MENUMPANG MANDI
KALAU ADA UMUR YANG PANJANG
BOLEH KITA BERJUMPA LAGI
*p.s (Buat Kak N.. kalau ada tutur kata atau budi bicara kami yang menyinggung perasaan, kami semua minta maaf, kerana setiap kebaikan yang datang adalah dari Allah dan setiap keburukan yang menimpa adalah dari kelemahan kami sendiri).
Posted at Saturday, February 26, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Wednesday, February 23, 2005

Sebahagian dari Firman Allah Taala dalam surah An Nisaa' A:34 yang bermaksud,
..... Maka orang orang perempuan yang shalih itu ialah mereka yang menjaga kehormatannya sewaktu ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah menjaganya..."
Abdurrahman bin Auf meriwayatkan, bahawa Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya,
" Seorang wanita yang shalih itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak shalih, dan seorang wanita yang berkhidmat/melayani suaminya selama seminggu, maka ditutuplah daripadanya tujuh pintu neraka dan dibukakan baginya lapan pintu syurga dari mana dia mau masuk bebas tanpa hisab."
Kali ini aku akan berkongsi cerita tentang keistimewaan seorang wanita sebagaimana yang tertera dalam firman dan hadis diatas. Kuharap cerita ini dapat dijadikan tauladan dan peringatan untuk kaum sejenisku.
Saat Allah menciptakan wanita, Dia membuatnya menjadi sangat penting.
Allah ciptakan bahunya,agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya.
Walaupun, bahu itu cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tidur.
Allah berikan wanita kekuatan untuk melahirkan zuriat dari rahimnya.Dan sering kali pula menerima cercaan daripada anaknya sendiri.
Allah berikan ketabahan yang membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah di saat semua orang berputus asa.
Allah berikan kesabaran, untuk merawat keluarganya walau letih,sakit, lelah dan tanpa
berkeluh-kesah.
Allah berikan wanita, perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya,
dalam situasi apa pun, biarpun anak-anaknya kerap melukai perasaan dan hatinya.
Perasaan ini memberikan kehangatan kepada anak-anaknya yang ingin tidur.
Sentuhan lembutnya memberi keselesaan dan ketenangan.
Allah berikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya, melalui masa kegentiran dan
menjadi pelindung baginya. Bukankah tulang rusuk suami
yang melindungi setiap hati dan jantung wanita ?
Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan untuk membolehkan wanita menilai tentang
peranan kepada suaminya. Seringkali pula kebijaksanaan itu menguji kesetiaan yang diberikan
kepada suami agar tetap saling melengkapi dan menyayangi.
Dan akhirnya, Allah berikannya airmata agar dapat
mencurahkan segala macam perasaannya...
Inilah yang khusus Allah berikan kepada wanita, agar
dapat digunakan di mana ia inginkan.
Posted at Wednesday, February 23, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Monday, February 14, 2005
Kasih Sayang sebagaimana Firman dan Hadis
Firman Allah Taala dari Surah Ar-Rum Ayat:21 yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
Dari Nukman bin Basyir r.a katanya: Rasulullah saw bersabda:(SHAHIH BUKHARI)
"Anda lihat orang orang yang beriman itu dalam kasih-mengasihi, saling cinta-mencintai dan saling tolong- menolong, seperti sebatang tubuh. Kalau ada salah satu anggota yang terkena penyakit, seluruh batang tubuh ikut menderita tidak dapat tidur dan menderita panas."
Tersentuh hati aku apabila teringatkan firman Allah Taala dan sabda Nabi Muhammad saw diatas. Apakan tidak,cuti hari minggu yang berlalu suamiku meminta aku mengurut kakinya, katanya sakit maklumlah penat bekerja. Aku pun tak nak melepaskan peluang kerana itu adalah kerja ikhlas aku kerana Allah Taala. Lagipun itu adalah satu reaksi untuk aku menunjukkan kasih- sayang aku padanya.(maklumlah hari Isnin inikan hari memperingati Kekasih(Valentine's day). Sedang aku urut kakinya teringat aku akan Firman Allah dan sabda Nabi saw seperti yang tertera diatas. SUBHANALLAH!!! Tapi setahu aku sambutan Valentine's day itu budaya Orang Putih.

Pada aku hari-hari yang berlalu dan mendatang adalah hari-hari untuk aku mengingati kekasihku. Kalau aku boleh menunjukkan kasih-sayangku terhadap suamiku dengan mengurut kakinya, dengan memberikan senyuman yang manis, dengan tutur perbualan yang manis dan macam-macam lagi yang boleh aku buat untuknya kenapa tidak dengan Tuhan aku yang telah menciptakan aku, yang telah memberikan nikmat yang tidak terhingga dari saat kelahiran aku hingga sekarang ini?
Kalau aku boleh ingat suami aku melalui rupanya, melalui perangainya, melalui kata-katanya kenapa pulak aku tak boleh mengingati Tuhan aku melalui kata-katanya(Firmannya)untuk aku tanamkan dalam kepala otak aku sendiri?
Firman Allah Taala dalam Surah Ahzab Ayat 41 maksudnya:
" Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu sekelian kepada Allah/ zikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kepadaNYA diwaktu pagi dan petang...."
"Aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana masih lagi memberi peluang untuk aku hidup diduniaMu ini supaya aku bertambah-tambah berterimakasih padaMU." AMIN....
Posted at Monday, February 14, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
Monday, February 07, 2005

Awal Muharram datang lagi, kalau menurut kalender masihi ia jatuh pada hari Khamis ini 10/2/2005.DiSingapura ini selalunya sambutan diadakan ialah perarakan beramai ramai ( berjalan kaki) sebagai memperingati peristiwa penghijrahan Nabi saw dari Mekah ke Madinah.
Disamping itu masjid masjid akan mengadakan majlis syarahan, baca quran dan lain lain lagi.
Disini aku mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan kawan kawan semua tentang peristiwa yang berlaku dalam bulan Muharram.
Dinamakan Muharram karena memang bulan tersebut mulia - dalam bahasa Arab haram berarti mulia – dan penamaan tersebut sebagai penguat dari kemuliaan bulan itu. Allah Taala berfirman dalam surah At Taubah ayat 36 yang bermaksud:
"...janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu Sebab dosa yang dilakukan pada bulan-bulan tersebut lebih dahsyat dari bulan-bulan selainnya". Ibnu ‘Abbas Radhiyallaahu 'Anhuma di dalam menafsirkan ayat ini berkata maksudnya : “Di bulan-bulan yang Allah tetapkan di dalam setahun kemudian Allah khususkan dari bulan-bulan tersebut empat bulan, yang Allah menjadikan sebagai bulan-bulan yang mulia dan mengagungkan kemuliannya, dan menetapkan perbuatan dosa di dalamnya sangat besar, begitu pula dengan amal shalih pahalanya begitu besar- dibandingkan bulan-bulan lainnya.”
Keutamaan Bulan Muharram Allah Taala berfirman yang maksudnya:
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (At Taubah : 36)
Rasulullaah saw telah menjelaskan maksudnya :"Di dalam satu tahun ada dua belas bulan dan diantaranya terdapat empat bulan yang mulia, tiga diantaranya berturut-turut : Dzulqa’dah, Dzulhijjah dan Muharram, dan Rajab yang berada di antara bulan Jumada dan Sya’ban." (Riwayat Bukhari no.2958 dari Abi Bakrah). Demikianlah Allah Taala kemudian Rasul-Nya mengagungkan bulan ini dan demikian pulalah seharusnya sikap kita orang islam.
Peristiwa-peristiwa penting:
1. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
2. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
- Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
- Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
- Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
- Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
- Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
- Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
- Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
- Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
- Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
- Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
- Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
- Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
- Hari pertama Allah menciptakan alam.
- Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
- Hari pertama Allah menurunkan hujan.
- Allah menjadikan 'Arasy.
- Allah menjadikan Luh Mahfuz.
- Allah menjadikan alam.
- Allah menjadikan Malaikat Jibril.
- Nabi Isa diangkat ke langit.
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
- Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
- Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
- Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X
- Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X
Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):
- Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
- Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
- Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
- Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
- Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
- Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
- Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
- Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
- Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
- Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
- Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
- Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
- Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala. "Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
Demikianlah serba sedikit tentang peristiwa Bulan Muharram yang aku petik dari Berita Harian online-Malaysia.
Mudah mudahan ia membawa pengajaran yang baik untuk menjadi budaya hidup orang islam. Wallahualam....
Posted at Monday, February 07, 2005 by masmerah
Terimakasih sudi komen
|
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
 |
 |
 |
 |
 |
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
|
 |